Advertisement

Sesuai atau tidak beli rumah sekarang?

Assalamualaikum…..


Di zaman sekarang ni siapa sajalah yang tak impikan ada rumah sendiri? Sudah tentulah kita impikan rumah kediaman yang cantik dan selesa untuk didiami bersama keluarga tersayang. Namun untuk mendapat apa yang diimpikan sudah tentulah memerlukan perancangan kewangan dan sebagainya supaya tiada masalah berbangkit pada masa akan datang.

Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sebelum ini merupakan kenyataan yang terpaksa kita terima. Dengan bilangan kes positif yang meningkat, wabak ini telah memberi kesan besar bukan sahaja kepada ekonomi, industri pelancongan, perkhidmatan dan pembuatan, malah juga industri hartanah.


Sebelum penularan wabak ini lagi pemaju hartanah telah menyuarakan kebimbangan mengenai prospek pasaran separuh penggal iaitu kelembapan pasaran yang mungkin berlanjutan untuk beberapa tahun lagi disebabkan kurangnya insentif dan pakej rangsangan untuk industri hartanah. Ternyata COVID-19 telah memburukkan masalah sedia ada pada pasaran perumahan dalam jangka pendek dan sederhana.

Penawaran hartanah yang dirancang terdiri daripada unit-unit yang telah mendapat kelulusan pelan bangunan dalam tempoh semakan namun begitu ada juga kerja pembinaannya yang belum lagi dimulakan. Oleh kerana Malaysia mengamalkan kaedah penyampaian perumahan ‘jual kemudian bina’ atau build then sell di mana pemaju memperoleh keuntungan sebelum projek bermula, kita boleh menganggap bahawa pemaju lebih tahu mengenai prospek masa hadapan pasaran. Ini menandakan pemaju lebih berhati-hati dan bersikap konservatif dalam hal ini tanpa mengira adanya wabak atau pun tidak, sentimen pasaran dianggap rendah dalam jangka masa pendek dan sederhana terutama sekali selepas tamatnya Kempen Pemilikan Rumah.

Dalam tempoh pasca Covid-19, permintaan terhadap hartanah mula berubah dan tertumpu di kawasan luar Bandar. Kebanyakan mereka membuat keputusan itu setelah mengambil kira beberapa faktor lain yang turut mempengaruhi trend pasaran hartanah di Malaysia seperti lokasi, kemudahan pengangkutan awam, sosial dan waktu kerja yang lebih anjal sekaligus membolehkan mereka bekerja di rumah.

Selepas sekatan pergerakan akibat Covid-19 dihentikan dan pelonggaran langkah sekatan membawa sedikit kelegaan kepada industri pasaran hartanah Malaysia kembali meyakinkan ditambah dengan pasaran buruh yang kukuh yang menyokong pasaran perumahan yang teguh, serta aliran pelaburan langsung asing yang stabil ke Asia Tenggara, ia memberikan penampan terhadap keanehan pasaran yang disebabkan oleh wabak dan perang. Peningkatan inflasi memerlukan kerajaan untuk meningkatkan kadar faedah, sekali gus mewujudkan keadaan kewangan yang lebih ketat.

Sebab itulah sebelum membuat keputusan untuk membeli hartanah, sebaiknya buatlah perancangan yang sebaiknya. Kat sini Moha kongsikan beberapa tips yang boleh digunakan sebagai panduan sebelum membeli hartanah terutama rumah yang pertama.

  • Pastikan ada buat pengiraan sebelum membuat pembelian rumah dan pastikan juga anda mempunyai duit secukupnya untuk bayaran deposit dan juga bayaran rumah seterusnya. Jika bercadang membuat pinjaman perumahan, atur kewangan dengan baik agar dapat memudahkan proses pinjaman dan bayaran kemudiannya.
  • Kenalpasti tujuan utama pembelian rumah samada untuk duduk sendiri atau untuk tujuan pelaburan. Jika untuk pelaburan, pastikan memilih lokasi hartanah yang mendapat permintaan tinggi. Lantik ejen berdaftar adalah pilihan terbaik jika tidak tahu cara untuk menguruskan hartanah yang ingin disewakan atau dijual.
  • Beli rumah mengikut kemampuan sebagai permulaan. Sekiranya terdapat masalah kewangan dikemudian hari, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan risiko rumah di lelong jika tidak mampu membuat bayaran pinjaman. ~Cara membuat pengiraan.  
  • Pilih kawasan perumahan yang memenuhi keperluan. Sebagai contoh, berhampiran sekolah, hospital, kedai atau pasaraya, kemudahan pengangkutan dan sebagainya.
  • Jenis rumah kediaman samada teres atau apartment juga memainkan peranan dan memberi kesan yang berbeza. Rumah teres lebih tinggi nilainya dan mendapat permintaan yang lebih tinggi berbanding rumah apartment. Namun begitu terpulang kepada citarasa masing-masing. Ada juga yang lebih suka rumah apartment kerana suasana yang lebih privasi.


Apapun rumah pilihan  anda, pastikan tidak terlalu membebankan kewangan anda sehingga mengganggu kehidupan selesa yang anda impikan.

Post a Comment

0 Comments