Punca kebakaran dan tips elak kebakaran berlaku

January 16, 2018 Mohaz Sue 1 Comments



Assalamualaikum...

Entah macamana nak mulakan.. baru je balik dari Hospital Kajang ziarah jiran Moha yang ditimpa musibah awal pagi tadi.

Sebak!

Masa Moha sampai di wad kanak-kanak, si abang dah tidur. Si adik dalam pelukan ayahnya. Merengek menahan kesakitan. Walaupun dah diberi ubat tahan sakit, pastinya trauma diorang masih ada. Ketakutan jelas terbayang di wajah mereka. Tak lama, si adik tertidur juga akhirnya.

Apa yang paling Moha sayu hati bila tengok keadaan diorang. Kaki berbungkus disebabkan tapak kaki yang halus mulus tu melecur habis sebab lantai yang dipijak ibarat bara api yang panas gila! Dapat bayangkan tak seksa sakitnya budak 4-7 tahun nak tanggung? Tu baru part kaki! Part lain? Cuba letak diri sendiri kat tempat diorang sekarang ni. Waktu dia tidur tu pun sekejap-sekejap badan dia kejang. Tersentak-sentak. Air mata masih mengalir dalam lena yang "dipaksa".

Si ayah paling kerap menangis. Siapa yang mampu tahan perasaan bila tengok keadaan anak macamtukan? Siapa? Lebih-lebih lagi jika dia sendiri sejak anak tu baby lagi tak pernah dimarahi lagikan disakiti! Tiba-tiba waktu yang ditinggalkan sekejap tulah kejadian tak diingini macamni terjadi.

Si ibu diasingkan wad tapi dah dibenarkan keluar atas permintaannya sendiri. Walaupun kedua-dua belah tangan melecur, tapak kaki luka terbelah, badan masih sakit, biarlah anak-anak tu dia uruskan sendiri katanya. Ternyata dia ibu yang sangat tabah.

Memandangkan Hospital Kajang takde rawatan rapi untuk kebakaran, maka esok mereka akan dipindahkan ke HKL. Disebabkan luka agak teruk, berkemungkinan mereka akan lama "berkampung" di sana. Takpelah. Yang penting sembuh.

Rumah macamana? 

Rosak teruk juga. Fasiliti di ruang tamu di tingkat bawah boleh dikatakan 100% habis musnah. Sofa hangus rentung, kipas siling, set tv, air-cond, petiais, handphone habis cair, siling runtuh, mentol lampu, cermin dinding, kaca sliding pecah berderai, dan banyak lagilah yang rosak. Barang persekolahan pun terbakar juga.

Mujur api tak sempat merebak ke bahagian dapur. Kalau tak, mau meletop tong gas tu. Dan kalau api sempat merebak ke ruang atas, rasanya sederet rumah teres ni rermasuk rumah Moha akan terbakar sama. Allah.. tak sanggup nak bayangkan.

Siasatan Awal

Siasatan awal dari forensik yang datang, katanya kebakaran berpunca dari wayar sambungan. Mungkin wayar tu terhimpit oleh sofa yang ada di dinding dan menyebabkan penebatnya pecah. Jadi litar pintas yang terjadi tu lah yang menyebabkan percikan api menyambar sofa dan menjadi api besar. Lebih-lebih lagi sofa jenis pvc dan foam ni kan, memang mudah sangat-sangat nak terbakar.

Tips elak kebakaran

Ini sedikit tips yang pegawai forensik tu sempat berikan pada kami yang datang melawat sewaktu dia buat kerja tadi.

1. Pastikan cabut setiap kepala plug yang tak diguna.

2. Jangan guna penyambung wayar yang rosak ataupun yang tiada cop dari sirim lebih-lebih lagi yang tiruan (murah dan ada cop pun elakkan) sebab kita tak tau berapa tenaga elektrik yang penyambung tu mampu tahan. Lebih-lebih lagi kalau nampak kepala plug tu cair lepas di guna. Terlalu panas! Buang jela terus. Jangan sebab sayang benda tu, beribu pulak yang rugi nanti.

3. Cable usb cajer handphone tu pun kalau dah koyak dan nampak dawai tu, buang jelah. Jangan di gunakan lagi. Benda tu pun murah je.

4. Kalau guna powerbank pun hati-hati sebab powerbank dah ada limit dia. Kalau overdose guna pun risiko meletop tu ada.

5. Nak cas handphone sebaiknya offkan handphone tu dulu. Dah penuh nanti on la balik. Jangan masa cas masa tu jugaklah nak main phone. Pernah dengar viral handpbone meletop masa cas kan? Ingat tak? Haa..jaga-jaga!

6. Paling penting, panggillah tukang elektrik yang bertauliah datang cek sistem pendawaian elektrik kat rumah kita. Manalah tau wayar-wayar yang ada tu dah rosak ke apa. Perbaiki cepat sebelum terjadi hal yang tak diingini macamni.

7. Jarakkan peti ais dan mesin basuh sekurang-kurangnya 10 sentimeter dari dinding untuk memudahkan pengaliran haba.

Gitulah lebih kurang yang sempat dengar. Boleh cuba google tips-tips lain untuk langkah keselamatan kita ye. Banyak lagi sebenarnya yang kita selalu buat dan selalu terlepas pandang/cuai yang boleh akibatkan kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain.

Semoga kita semua lebih berhati-hati dan sentiasa dalam lindungan Allah SWT. Aamiin..

You Might Also Like

1 comment:

  1. sekarang risau nak guna power bank sejak2 ada kes meletup2 tu

    ReplyDelete