Bayar Zakat Menerusi Pos Online



Assalamualaikum...

Alhamdulillah... Harini dah masuk hari ke-4 kita berpuasa. Walaupun tak semeriah sebelum pandemik, tapi kita masih dapat berpuasa dalam suasana aman dan damai. 

Bila masuk bulan Ramadhan, dah semestinya wajib bayar Zakat Fitrah. Iaitu sedekah yang wajib dikeluarkan selepas berbuka untuk beraya dan selesainya Ramadan. Zakat Fitrah wajib dibayar oleh : 
  • Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  • Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
  • Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya
  • Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan
Bertujuan untuk mensucikan orang Islam yang berpuasa dari kata-kata dan perbuatan yang tidak bermanfaat. 

Zakat Fitrah juga adalah untuk memberi makanan kepada orang-orang miskin dan mencukupkan keperluan dan permintaan mereka pada Hari Raya Aidilfitri. 

Bayangkan ea, kita dan keluarga menyambut hari raya dengan suasana gembira, cukup makanan dan mengenakan pakaian yang cantik, tapi bagi mereka yang miskin, jangankan baju raya, hidangan raya pun belum tentu ada.

Jadi dengan zakat yang kita bayar itu dapatlah disumbangkan kepada mereka supaya mereka juga dapat meraikan hari raya ini.

Tapi disebabkan Covid-19 yang semakin meningkat ni, mesti ada yang risau nak bayar zakat secara bersemuka kan? 


Takpe, sekarang ni apa yang nak disusahkan? Kan boleh buat bayaran guna online channel. Antara pilihan yang ada, korang boleh pilih guna pos online ni ha. Caranya bukan susah pun. Mula-mula korang masukkan je nama pengguna dan kata laluan.


Lepas tu perasan tak ada 3 garis kat penjuru atas sebelah kanan tu? Haaa.. tekan situ dan pilih bill payment.


Skroll ke bawah sikit sampai jumpa zakat.


Nanti akan keluar payment list. Macam tadi juga, pilih zakat.

Kemudian pilih open payment dan pilih Pusat Pungutan Zakat negeri korang tinggal dan jenis zakat yang nak dibayar. Macam Moha, Moha pilih Lembaga Zakat Selangor. Di Selangor, Lembaga Zakat Selangor menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri kita sekeluarga.

Ok, selepas jenis zakat dipilih, korang isilah butiran diri dengan lengkap dan tekan butang Add To Bill Folder.

Tekan Proceed To Checkout jika sudah pasti dengan transaksi yang dibuat. Pilih cara bayaran dan buat bayaran di saluran yang disediakan kat situ dan Submit.

Sebelum menamatkan transaksi bayaran, pastikan korang cetak resit pembayaran untuk rujukan masa akan datang. Haaa... dah pun siap.. senang je kan? 

Zakat Selangor akan mengagihkan kutipan zakat kepada 8 jenis Asnaf Zakat iaitu Asnaf Fakir, Asnaf Miskin, Asnaf Amil, Asnaf Muallaf, Asnaf Riqab, Asnaf Fisabilillah, Asnaf Gharimin dan Asnaf Ibnu Sabil.

Asnaf Fakir
Asnaf Fakir ialah orang Islam yang tiada harta atau pendapatan, atau ada harta atau pendapatan tetapi tidak mencapai 50 peratus daripada had kifayah dirinya dan tanggungannya.

Asnaf Miskin
Asnaf miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan yang hanya boleh menampung lebih 50 peratus keperluan dirinya dan tanggungannya tetapi masih belum mencukupi had kifayah. 

Asnaf Amil
Amil ialah pihak yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi mewakili DYMM Sultan untuk menjalankan tugas-tugas pengurusan zakat meliputi pungutan dan agihan.

Asnaf Muallaf
Muallaf adalah seseorang yang baru memeluk Islam atau seseorang yang dijinakkan hatinya dalam kalangan mereka yang belum memeluk agama Islam atau yang perlu ditarik simpatinya kepada Islam atau diharap dapat membela orang Islam atau yang perlu diamankan kejahatannya terhadap orang Islam.

Asnaf Riqab
Riqab ialah seseorang yang terbelenggu di bawah suatu kuasa atau keadaan yang menjadi hambatan kepada dirinya bagi menjalani kehidupan yang lebih baik.

Asnaf Fisabilillah
Fisabilillah ialah perjuangan, usaha dan aktiviti yang bertujuan untuk menegakkan dan mempertahankan agama Allah.

Asnaf Gharimin
Gharimin ialah orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas diri dan tanggungannya atau kepentingan masyarakat dan tiada keupayaan untuk membayarnya.

Orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asasi bagi permasalahan diri atau keluarga tanggungannya atau orang yang berhutang untuk menyelesaikan masalah masyarakat dan memerlukan:

  • Orang yang berhutang itu tidak mampu menjelaskan hutangnya.
  • Hutang itu hendaklah dalam perkara taat yang diharuskan syarak.
  • Hutang telah sampai tempoh untuk dijelaskan.

Asnaf Ibnu Sabil
Ibnu Sabil ialah orang Islam yang kehabisan belanja semasa memulakan perjalanan atau dalam perjalanan yang mendatangkan manfaat serta sesuai dengan hukum Syarak dengan syarat:
  • Putus bekalan dalam perjalanannya.
  • Tidak dapat memanfaatkan hartanya untuk meneruskan perjalanan. 
  • Memerlukan kemudahan asas dalam masalah perjalanan. Ditinggalkan dalam perjalanan. 

Sambil berkongsi rezeki kepada golongan yang memerlukan dengan membayar zakat, semoga rezeki kita juga tak akan putus dan semakin bertambah.


“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”




2 comments:

  1. Melalui Pos Malaysia pun boleh rupanya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ye boleh.. ada banyak cara juga sebenarnya nak bayar zakat cashless ni

      Delete