Apa guna pasir setambun,
Kalau tidak setinggi duduk,
Apa guna kasih setahun,
Kalau tidak seumur hidup
-Yana
Apa khabar nasi di daun,
Nasi di talam bagai nak basi,
Apa khabar tinggal setahun,
Tinggal semalam bagai nak mati.
-Ku Fitri
Pantun ini adalah sinopsis di belakang novel TANAH ANDRIYANA.
Bait pantun itulah yang menarik perhatian Moha membeli novel ini suatu masa dulu dan akhirnya menjadi novel kegemaran Moha. Banyak kali baca pun tak jemu-jemu.
Mengisahkan persengketaan sebuah keluarga yang diwarisi sejak turun-temurun.
Tapi yang menarik perhatian Moha adalah tentang kisah hidup Andriyana, moyang Aliya dan suaminya Ku Fitri. Kisah yang penuh tragis, realistik dan sungguh menyayat hati.
Membaca kisah yang ditulis oleh penulis Noor Suraya ini membawa Moha ke zaman Andriyana dan juga zaman Aliya. Bagaimana tabahnya Andriyana menempuh dugaan hidup dan kesungguhan Aliya dan Hadi berusaha menyatu-padukan semula keluarga mereka.
Susunan cerita ditambah gabungan adat dan budaya Melayu berserta rangkap pantun yang teratur serta dalam maksudnya sememangnya tak jemu dibaca. Novel yang sarat dengan pengajaran.
Betapa cekalnya Andriyana mengharungi dugaan hidup, mulia sungguh hatinya... sedikitpun tidak menyimpan dendam terhadap orang yang menganiaya dirinya, sebaliknya mengharapkan penyatuan semula dua buah keluarga.
Penamat kisah ini terbaik bagi Moha dan tidak mengecewakan langsung. Tak rugi beli novel ni😄
Nah.. Moha share sikit part best yang Moha suka baca dalam novel ni😁
Hinggap di daun si burung merpati,
Mati ditimpa ranting meranti,
Seratus tahun sanggup menanti,
Tuan tak pernah luput di hati.
Asap api embun berderai,
Patah galah haluan perahu,
Niat di hati tak mahu bercerai,
Kuasa Allah siapalah yang tahu.
“Kerana hidup di dunia adalah sementara, jangan bawa dendam kesumat ke liang lahad.
Yang teraniaya aku, bukannya kamu semua…..” Andriyana.
0 Comments