Laksam Mudah Gulung Tak Melekat Guna Tudung Bekas Bahulu

  

Assalamualaikum...


Memandangkan Moha dan anak-anak suka sangat makan laksam ni, harini Moha buatlah laksam untuk makan tengahari.

Resepi kalini mungkin lebih-kurang sama macam yang orang lain dah pernah kongsi. Cuma kalini Moha nak kongsi apa pekakas yang Moha guna masa nak kukus laksam tu.

Kat rumah ni, Moha takde penutup periuk yang leper tu. Penutup kaca adalah. Mana boleh guna! Loyang kek gulung pun kecil sangat saiz dia. Jenuhlah nak siap kukus laksam tu karang.. huhu..

Jadi, pilihan yang tinggal cuma 3. Samada nak guna pinggan kaca, pinggan plastik atau penutup bekas bahulu yang bulat tu. 


Hurm... Sebab nak puaskan hati, Moha cuba guna tiga-tiga jenis tu. Mula-mula guna pinggan kaca. Ketebalan laksam sama rata. Cuma masalah dia pinggan tu berat. Jadi bila nak keluarkan dari pengukus kena lebih hati-hati. Moha cungkil dengan sudip leper dan kepit tepi pinggan dengan playar. Laksam tetap melekat kat pinggan walaupun dah sapu minyak. 

Uish.. lecehlah nak kikis-kikis ni. So, Moha tukar dengan pinggan plastik pulak. Sapu minyak dan tuang adunan. Ala... Sama jugalah hasilnya... Melekat juga. Lastly Moha cuba guna penutup bekas bahulu.


Alhamdulillah, cantik kejadian dia. Nak gulung pun senang. Langsung tak melekat. Licin je bawah dia. Seronok betul rasa! Haha..

Cuma kelemahan dia, bila panas sangat, penutup tu jadi melengkung ke dalam sikit. Ketebalan laksam jadi tak sekata. Tebal kat tengah, nipis kat tepi. Tapi apa ada hal, sendiri yang nak makan kan.. penyelesaian masalah penutup melengkung, Moha gunakan 4 keping penutup bekas tu. Sempatlah penutup yang panas tu sejuk dan boleh digunapakai semula.

Eh, panjang pulak cerita.. jomlah tengok resepi laksam.



Laksam

Bahan-bahan :
Sepeket tepung beras
1 cawan (guna cawan kopi) tepung gandum
1 sudu kecil garam
10 cawan air (guna cawan sukat tepung gandum)

Cara membuatnya :

*Didihkan air dalam pengukus dulu. *Sapu minyak pada acuan laksam.
*Campur semua bahan dan gaul rata.
*Letak acuan (penutup bekas bahulu) ke dalam pengukus.
*Tuang 1 cawan adunan (yang guna untuk menyukat tadi).
*Kukus hingga laksam menggelembung. Angkat dan gulung bila dah sejuk sikit. Siap.
*Potong bila nak makan. 

Tips : Kalau laksam tak habis, masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti ais. Kukus sekejap bila nak makan.

Kuah laksam yang Moha buat tadi macam ni..

Bahan-bahan :
2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 inci belacan bakar
1 kg isi ikan mabong (rebus dengan 1 sdk garam dan asam jawa. Dah sejuk, buang tulang).
Kisar semua bahan kat atas ni.
3 sudu besar lada hitam - dikisar halus 
500ml Santan kotak Kara 
500ml air 
2 keping asam gelugur.  
Tambah garam dan tumix/ajinomoto. Tak nak letak ajinomoto, letaklah kiub ikan bilis/ayam. 

*Campur semua bahan dan gaul sentiasa hingga mendidih. Siap.

Sambal dia Moha buat simple je. 6 biji cili besar merah tu campur 5 biji cili api merah kisar halus dengan sikit air masak. Siap. Nak makan laksam nanti tambah la cili ni sesudu. Nak pedas lagi, tambahlah lagi.. senang je cara Moha ni kan? 

Ulam pulak, ikut sukalah nak guna sayur apa. Biasanya orang guna tauge mentah, kobis, timun dan kacang panjang. Tadi tauge tak ada. Jadi Moha ganti dengan daun salad. Tak kisahla.. sedap juga..hihi..




Ok, selamat mencuba ye.

Resepi Portugese Egg Tart

 Assalamualaikum...

Kali ni Moha nak kongsi resepi Portugese Egg Tart pulak. Resepi ni pun Kak Liz yang bagi. Moha cuma salin balik kat sini. Bila Moha nak buat? Uhuk... errrrrr... Bila eh? Hehe.. tunggulah... InsyaAllah.. heeee

Antara Potugese Egg Tart dengan Egg Tart biasa, sebenarnya Moha lagi suka Egg Tart yang biasa. Masa bujang dulu tiap-tiap hari beli. Sedap giler! Cuma nak buat sendiri, memang tak rajin! Padahal senang je kot nak buat dia. Tak macam Portugese Egg Tart ni. Agak renyah sikit. Tak caya? Jom tengok resepi..



PORTUGESE EGG TART

Bahan untuk pastri:

125gm butter
150gm tpung gandum
90ml susu segar atau full cream (nak yang sejuk dari peti ais)
Secubit garam

Bahan untuk filling:

250ml susu segar atau full cream
50ml whipping/heavy cream
40gm gula castor
2 bji kuning telur
1 sb tepung jagung
1 sk esen vanilaCara buat filling:

1. Campur semua sekali bahan untuk filling dalam 1 periuk. Kacau sebati dulu bagi tepung jagung hancur dan tak berketul.

2. Masak atas api sederhana. Sentiasa kacau supaya tak berketul. Biar adunan jadi sedikit pekat. Jangan terlalu pekat. Jangan terlalu cair. Kacau sampai tekstur macam kuah kastard. 

Cara buat pastri:

1. Butter tadi jadikan butter sheet. Maksudnya ambik 1 plastik 4 segi sama, leperkan butter dalam plastik tu, lepas tu balut kemas simpan dalam chiller. Bagi butter keras dan tak cair. Nak guna baru keluarkan.

2. Campurkan semua bahan untuk pastri kecuali butter sheet. Uli sampai jadi doh lembut dan tak melekat di tangan.

3. Lepas dah jadi doh, bulatkan lepas tu belah jadi 4, belah separuh je, jangan sampai putus 4. Pastu simpan dalam chiller 15-20 minit.

4. Lepas 20minit, keluarkan doh dan canaikan. Canai biar agak-agak muat untuk letak butter sheet nanti. Lepas tu balut buttersheet atas doh yang dicanai tadi. Balut biar tutup semua butter. Masuk balik dalam chiller 30minit.

5. Lepas 30minit, keluarkan dan canai lagi. Masa canai ni, tabur tepung sebab nanti doh akan makin menipis, dan mudah koyak. Lepas canai tu, lipat doh menjadi 3@4 lipatan arah sama. Lepas lipat simpan balik dalam chiller 30minit

6. Ulang langkah 4 lebih kurang 3-4 kali. Tapi pastikan tiap kali canai tabur tepung.

7. Bila dah siap langkah tadi, keluarkan doh. Canai lagi sekali untuk kali terakhir, lepas tu gulung. Masa ni kalau nak simpan dulu dalam chiller pun boleh. Nak guna terus pun boleh.

8. Potong gulungan doh tadi. Agak-agak dalam 2 inci ukurannya. 

9. Lepas potong ambik satu-satu dan canaikan sikit. Jagan nipis, agak-agak je. Kalau nipis nanti tart takde isi pastri. Kemudian masukkan dalam acuan.

10. Tuang adunan filling dalam pastri lepas tu bakar suhu 150-160°C. Bakar selama 30 minit. Ikut pada jenis oven masing-masing Guna api atas bawah.


Amacam? Boleh? Ala... Tak la susah cuma banyak step je.. Moha pun belum cuba buat lagi. Tapi Moha dah rasa dari yang Kak Liz buat.. memang sedap!! So, yang teringin nak rasa tat ni, boleh try resepi ni. 

Selamat Mencuba!!