ZAKAT PENGELUARAN WANG KWSP




Assalamualaikum....

Alhamdulillah, sejak pandemik ni, kerajaan dah meluluskan pengeluaran akaun KWSP melalui i-Lestari dan i-Sinar. Dapatlah juga menampung perbelanjaan bagi mereka yang terjejas pendapatannya disebabkan Corona-19 ni.


Cuma persoalannya, adakah diwajibkan zakat keatas pengeluaran wang KWSP ni? Hurmm...


Seperti yang kita maklum, wang KWSP ialah wang yang disimpan di dalam akaun simpanan pekerja hasil caruman pekerja dan majikan daripada pendapatan seseorang daripada pekerjaannya yang tertakluk di bawah akta KWSP.

Konsep wang simpanan di KWSP adalah sama seperti wang simpanan lain. Cuma tidak boleh dikeluarkan sesuka hati seperti akaun simpanan biasa. Oleh kerana konsepnya sama, maka zakat diwajibkan keatasnya.


Wang ini hanya boleh dikeluarkan sebahagiannya oleh pencarum apabila ia mencapai umur 50 dalam tempoh perkhidmatannya atau mengambil keseluruhannya apabila ia telah mencapai umur 55/60 iaitu umur pencen atau bersara. Selain daripada pengeluaran berdasarkan faktor umur, ianya juga boleh dikeluarkan setelah memenuhi syarat –syarat dibawah pelbagai Skim Pengeluaran KWSP.

Wang yang masih tersimpan di dalam akaun KWSP pencarum terlepas daripada kewajipan zakat kerana ia tidak mencukupi salah satu syarat wajib zakat iaitu syarat milik sempurna.

Errr.. Maksudnya apa ea?

Camni... Syarat milik sempurna tidak wujud kerana pencarum terikat dengan akta KWSP yang tidak membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan melainkan dalam keadaan tertentu melalui skim yang disediakan oleh KWSP. Contohnya pengeluaran sebahagian atau sepenuhnya wang caruman selepas mencapai umur pencarum 50, 55 dan 60 tahun.



Apabila wang KWSP layak dikeluarkan, maka syarat milik sempurna wujud dan pengeluaran tersebut wajib dizakatkan. Pencarum yang mengeluarkan simpanan mereka sebelum umur 55 tahun, kaedah taksiran zakatnya perlu melihat kepada kewajipan zakat pendapatannya.

Kaedahnya sebagaimana berikut:

1. Jika ia adalah pembayar zakat pendapatan.

Pengeluaran KWSP wajib dizakat walaupun jumlah pengeluaran kurang daripada nisab.

2. Jika ia bukan pembayar zakat pendapatan. Jumlah pengeluaran zakat KWSP perlu dicampurkan dengan jumlah pendapatannya untuk dinilai samada melebihi nisab atau tidak.

ii. Jika melebihi nisab, ia wajib dizakat.
ii. Jika tidak melebihi nisab, zakat tidak wajib dikeluarkan.

Jadi persoalannya tadi, wajib tak bayar zakat dari pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar atau pengeluaran wang simpanan yang menepati akta KWSP?

Ok macamni.... Jika pengeluar adalah termasuk dalam golongan yang menghadapi masalah kewangan dalam situasi wabak COVID seperti hilang pendapatan, dibuang kerja dan seumpamanya, dan perlu menggunakan wang pengeluaran tersebut untuk menampung keperluan hidup, maka ia terlepas dari kewajipan zakat. Jadi, tak payahlah bayar zakat dari pengeluaran wang KWSP tersebut.

Sebaliknya, jika pengeluaran dibuat dalam keadaan bukan terdesak (saja nak keluarkan dan simpan dalam akaun lain atau untuk memenuhi keperluan yang tidak begitu mendesak), kewajipan zakat adalah tertakluk sebagaimana dalam perkara 1 dan 2 di atas. Maksudnya, kenalah bayar zakat atas wang KWSP yang dikeluarkan tadi. Jelas tak?


Terdapat dua pandangan berkenaan zakat bagi KWSP.

*Sebelum mencapai umur 55 tahun (pemilikan belum sempurna)

2.5% dari jumlah pengeluaran KWSP adalah jumlah yang diwajibkan zakat. Jumlah pengeluaran tidak mengira samada mencapai nisab. Jika jumlah pengeluaran KWSP dibawah nisab, hendaklah dicampurkan bersama pendapatan lain.

* Setelah mencapai umur 55 tahun (pemilikan sempurna)

2.5% atas keseluruhan wang KWSP dizakatkan seperti kaedah zakat simpanan. Dengan itu, tiada lagi tolakan caruman KWSP pada taksiran zakat pendapatan untuk yang masih bekerja dan membuat caruman KWSP.


Dalil Wajib Zakat

Dalil Al-Quran:

وَٱلَّذِينَ يَكْنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍۢ ۝٣٤
يَوْمَ يُحْمَىٰ عَلَيْهَا فِى نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ ۖ هَٰذَا مَا كَنَزْتُمْ لِأَنفُسِكُمْ فَذُوقُوا۟ مَا كُنتُمْ تَكْنِزُونَ ۝٣٥

“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”
(Surah At-Taubah : Ayat 34-35)

“Saidina Ali telah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda:

“Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham. dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya, diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Jika masih kurang jelas, boleh terus rujuk di laman sesawang atau media sosial Zakat Selangor kat bawah ni ye. InsyaAllah segala keraguan akan dijelaskan oleh pihak mereka.

Instagram : @zakatselangor
Twitter : Zakat Selangor
Youtube : Zakat Selangor TV